
Tips Mudah untuk Bangun Awal3 min read
Butang snooze? Tidur lewat? Menggunakan telefon pintar sebelum tidur? Semua perkara ini tidak akan membantu anda untuk bangun dengan lebih awal. Saya akui, bangun pagi boleh menjadi perkara yang sukar untuk dilakukan. Iyalah, lebih-lebih lagi jika kita memikirkan bahawa tidur ialah pilihan yang lebih menarik jika dibandingkan perkara yang kita kurang gemari, misalnya menyapu sampah di halaman (Ni contoh sahaja ya, setiap individu mempunyai aktiviti kegemaran masing-masing).
Tetapi, jika kita cakna akan kelebihan bangun dengan lebih awal, mesti kita akan berusaha untuk turut serta agar dapat menikmati manfaat di waktu pagi.
Apakah manfaat bangun awal?
Jadi, sebelum kita terus kepada tips, kita ambil tahu tentang apakah manfaat yang kita perolehi sekiranya kita bangun lebih awal? Yang paling ketara, kita ada masa tambahan untuk sarapan pagi. Jika anda bangun lewat dan perlu tergesa-gesa keluar, anda lebih cenderung untuk mengambil snek yang cepat dan tidak sihat atau sering saya lakukan, skip sarapan. Tetapi, tahukah anda, apabila anda bangun lebih awal, anda mempunyai masa untuk membuat sarapan pagi yang lengkap dan sihat. Dengan hidangan pertama yang mengenyangkan, anda berpotensi meminimumkan risiko penambahan berat badan dan obesiti.
Selain daripada kita ada masa extra untuk bersarapan, kita juga ada masa untuk bersenam. Bagi individu yang sibuk, awal pagi mungkin satu-satunya masa untuk melakukan senaman. Selepas kita dah seharian bekerja, mungkin sukar untuk kita pergi ke gim dan mungkin kita rasa tak bersemangat untuk bersenam. Kecenderungan untuk skip bersenam lebih tinggi jika dibandingkan kita ada luangkan waktu pagi untuk bersenam.
Bagaimana kita nak mulai tabiat bangun awal?
Kita kena faham bahawa tabiat baharu tidak akan berlaku dalam sekelip mata dan mungkin sukar pada mulanya. Tetapi, kita boleh melatih badan dan minda kita untuk bangun awal dengan lebih mudah.
1. Mempunyai tujuan untuk bangun awal
Beri diri anda alasan untuk bangun awal dan menghabiskan waktu pagi anda melakukan sesuatu yang berharga kepada anda. Contohnya, untuk saya, mungkin meluangkan lebih masa dengan keluarga sebelum semua ke tempat kerja. Tanpa alasan yang kukuh untuk bangun awal, otak anda akan cenderung untuk mempengaruhi badan anda, dan tanpa disedari, anda kembali ke atas katil. Jadi, bagaimana kita nak mencari tujuan hidup? Boleh rujuk artikel yang ini.
2. Buat perubahan dengan perlahan
Apabila kita nak mulakan sesuatu tabiat yang baharu, jangan buat perubahan ketara dalam sekelip mata. Kita taknak mengejut membebankan mental dan fizikal kita. Sebagai contoh, jika anda kebiasaannya tidur sehingga pukul 11 pagi, jangan tiba-tiba bangun 5 pagi keesokan harinya.
Sebaliknya, bangun lebih awal secara beransur-ansur (dalam perubahan selang 15 hingga 30 minit) selama beberapa hari atau minggu sehingga anda mencapai waktu bangun ideal anda. Dengan cara begini, badan anda mempunyai lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan corak tidurnya yang diubah. Kita juga dapat meminimumkan sebarang kesan buruk seperti keletihan dan sleep deprivation.
3. Utamakan Good Sleep Hygiene
Good Sleep Hygiene ialah tabiat dan amalan yang sihat untuk memudahkan tidur. Antara perkara yang boleh dilakukan termasuklah:
- Mempunyai bilik tidur yang sejuk, gelap dan tenang
- Mengehadkan penggunaan elektronik pada waktu malam
- Elakkan makan makanan yang berat sebelum tidur
- Elakkan senaman yang intense pada lewat malam
Dengan meningkatkan sleep hygiene anda, mudah untuk anda mendapatkan tidur yang berkualiti dan seterusnya mudah untuk anda bangun pagi.
4. Letak alarm jauh dari tempat tidur

Jika alarm anda berada di sisi katil anda, mudah untuk menekan snooze. Tanpa disedari, anda telah berada di atas katil selama dua jam extra. Letak alarm jauh dari katil anda—di atas almari atau rak buku—tempat yang memaksa anda bangun untuk mematikan alarm. Sebaik sahaja anda bangun, tiada sebab untuk kembali ke katil. Jadi, anda boleh meneruskan pagi anda dengan lebih mudah.
Kesimpulan
Banyak perkara yang boleh kita lakukan jika kita ada masa extra pada waktu pagi. Jika anda ingin meningkatkan gaya hidup anda, mulakan dengan bangun pagi lebih awal. Anda boleh meluangkan masa untuk bersenam atau masak sarapan yang sihat. Bangun awal juga dapat meningkatkan kreativiti dan produktiviti anda.
You May Also Like

Kepentingan untuk bermula
September 15, 2020
Langkah Seterusnya Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
June 12, 2023