backlit beach clouds dark
Produktiviti

Cara untuk Melakukan Refleksi Diri4 min read

Apakah maksud refleksi diri?

refleksi diri ialah proses menilai diri anda secara keseluruhan

Melakukan refleksi diri ialah proses di mana anda meluangkan masa untuk memikirkan, merenungkan dan menilai pemikiran, tingkah laku, pertuturan, sikap, motivasi, keinginan anda, cara bekerja, cara belajar. Pendek kata, proses menilai diri anda secara keseluruhan, sama ada pada setiap penghujung hari, bulan atau tahun.


Refleksi diri mebolehkan anda untuk menganalisis kehidupan anda pada tahap makro dan mikro. Pada peringkat makro, anda boleh menilai kehidupan anda secara menyeluruh. Anda menilai dan menggambarkan apakah hala tuju kehidupan anda, adakah anda berpuas hati dengan kehidupan yang sedia ada dan apakah perubahan yang boleh dibuat. Pada peringkat mikro pula, ia lebih kepada penilaian tindak balas anda terhadap suatu keadaan atau peristiwa yang tertentu. Misalnya,:

  • Kenapa aku beli buku ni eh?
  • Kenapa aku suka podcast ni?
  • dan sebagainya…

Untuk melakukan refleksi diri, anda memerlukan disiplin dan niat yang betul. Refleksi diri memerlukan anda untuk menjauhkan diri daripda kesibukan dunia, meluangkan masa untuk berfikir tentang kehidupan anda. Ia bukan perlara yang mudah kerana anda perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada diri anda dan jujur tentang diri sendiri.

Mengapa kita perlu melakukan refleksi diri?

kita perlu tahu apakah tujuan melakukan refleksi diri

Melakukan refleksi diri memainkan peranan penting untuk kita berkembang sebagai seorang individu. Terdapat banyak kepentingan melakukan refleksi diri:


  • Refleksi diri ialah kunci untuk mengenali diri sendiri. Ia membolehkan kita untuk menilai diri sendiri tanpa sifat bias tentang pemikiran, perasaan dan setiap tindakan kita.
  • Dengan melakukan refleksi diri, kita menggalakkan minda untuk berfikir tentang mengapa kita mempunyai perasaan yang sedemikian, apakah akar umbi kepada pemikiran-pemikiran kita dan sebagainya.
  • Semua perkara harus dilakukan dengan sederhana, begitu juga dengan refleksi diri. Sekiranya dilakukan secara berlebihan, ia boleh membawa kepada kritikan diri yang keterlaluan.
  • Refleksi diri seharusnya membantu anda menuju ke arah kemajuan diri, positiviti dan kebahagiaan.

Apakah kaedah untuk melakukan refleksi diri?

1. Kenalpasti soalan-soalan yang penting

Fikirkan beberapa soalan yang ingin anda tanyakan kepada diri sendiri secara rutin (harian, mingguan, bulanan) untuk digunakan sebagai penilaian untuk refleksi diri anda. Contoh-contoh soalan yang anda boleh tanya pada diri sendiri ialah:

Harian:

  • Adakah saya berpuas hati dengan progres saya untuk hari ini?
  • Adakah saya menggunakan masa dengan baik?

Mingguan:

  • Adakah saya cukup bersenam pada minggu ini?
  • Apa yang boleh saya lakukan untuk lebih produktif pada hujung minggu?

Bulanan:

  • Adakah matlamat saya untuk bulan ini tercapai?
  • Adakah saya menguruskan kewangan saya dengan baik?

Anda boleh tambah lebih banyak soalan untuk benar-benar menilai diri sendiri dan cuba untuk selitkan juga cara yang boleh membantu anda lebih baik pada hari/minggu/bulan yang berikutnya. Di sini, saya sertakan satu laman sesawang yang mempunyai soalan-soalan yang anda boleh ditnanyakan pada diri sendiri.



2. Penulisan jurnal

Menulis dalam jurnal seperti buku harian adalah kaedah terbaik untuk mengekspreskan pemikiran dan perasaan anda. Ini juga merupakan alat yang bagus untuk melihat kembali untuk melihat corak dalam tabiat dan pemikiran anda.


Jika anda tiada idea tentang perkara yang ingin ditulis di dalam jurnal, anda boleh menjawab soalan-soalan dalam point yang pertama dan jadikan ia sebagai jurnal anda. Jurnal ialah ruangan anda dan anda bebas untuk menulis dan mengekspreskan diri anda.


Saya telah mula menulis jurnal pada tahun 2019. Bagi saya, penulisan jurnal membolehkan saya mengenalpasti emosi saya pada hari tersebut. Untuk tahun 2021, penulisan jurnal saya lebih kepada untuk memupuk perasaan bersyukur. Jadi, saya akan menulis jurnal pada setiap pagi dan malam. Penulisan jurnal setiap pagi ialah lebih kepada apakah yang akan saya lakukan untuk menjadikan hari ini lebih baik daripda hari yang sebelumnya. Penulisan jurnal pada waktu malam (sebelum tidur) pula tentang perkara-perkara yang saya hargai pada hari tersebut. Contohnya, saya bangun lebih awal daripada kebiasaan dan saya bersenam lebih lama daripada hari sebelumnya.



3. Menetapkan masa yang khas untuk melakukan refleksi diri

Gunakan Google Calendar dan tetapkan satu masa yang khas untuk anda melakukan refleksi diri. Untuk refleksi diri secara harian, mungkin cukup untuk anda ketepikan 3-5 minit. Refleksi diri boleh dilakukan dengam hanya duduk dan imbas kembali peristiwa-peristiwa lalu. Mungkin anda ingin menilai semula kenapa anda gagal dalam sesetengah matlamat dan mengapa anda berjaya dalam sesetengah matlamat yang lainnya.


Jika anda memilih untuk melakukan refleksi diri dengan penulisan jurnal secara mingguan, tetapkan masa pada setiap hujung minggu untuk anda tumpukan sepenuh perhatian kepada menilai dan mengenali diri anda.


Anda juga boleh melakukan refleksi diri dengan melihat diri sendiri di dalam cermin dan fikirikan tentang tindakan anda dalam situasi yang telah berlaku. Fikir, nilai dan perbaiki diri.

Konklusi

Kaedah untuk melakukan refleksi diri ialah bergantung kepada setiap individu. Jika anda merasakan kaedah A hanya sesuai untuk refleksi harian tetapi bukan mingguan, tidak mengapa, teruskan lakukan refleksi diri tetapi jangan terlalu keras dengan diri sendiri. Elakkan daripada mengkritik diri anda. Cukup sekadar mengambil iktibar dan belajar daripada masa lalu untuk memperbaiki masa depan anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *