
Persediaan Menduduki Peperiksaan7 min read
Tidak dinafikan, terdapat banyak cabaran dan dugaan untuk para pelajar pada tahun lepas dan tahun ini, terutamanya bagi mereka yang sepatutnya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2020. SPM sememangnya amat penting bagi kebanyakan pelajar kerana keputusan SPM akan membolehkan mereka untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang dan universiti yang diminati. Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia, SPM bagi pelajar Tingkatan 5 2020 akan bermula pada tarikh 22 Februari 2021. Oleh itu, penulisan kali ini khas untuk sesiapa yang memerlukan tips persediaan menduduki peperiksaan dalam masa yang terdekat, sama ada SPM mahupun peperiksaan semester.
Sekarang, saya sedang menduduki peperiksaan akhir Semester 1 dan saya terpanggil untuk berkongsi persediaan-persediaan yang selalu saya amalkan menjelang hari peperiksaan. Setiap individu ialah unik, jadi anda teruskan amalan anda yang baik, dan dalam masa yang sama, juga boleh mengamalkan tips-tips yang akan dikongsi.
Artikel ini akan bermula dengan berkongsi tentang
- Persediaan menduduki peperiksaan secara menyeluruh
- Persediaan semasa persekolahan/kuliah
- Persediaan sebelum peperiksaan
1. Persediaan menduduki peperiksaan secara menyeluruh
1.1 Kenalpasti kaedah pembelajaran yang sesuai dengan anda
Kaedah pembelajaran ialah teori yang mana seseorang individu mudah belajar menggunakan kaedah pembelajaran yang tertentu. Secara umumnya, terdapat tiga jenis kaedah pembelajaran. Keadah tersebut ialah visual, auditori atau kinestetik.
Walaupun kebanyakan individu mempunyai kaedah pembelajaran yang dominan, tidak ada individu yang hanya menggunakan satu kaedah pembelajaran sahaja. Setiap individu menggunakan setiap kaedah pembelajaran hingga tahap yang tertentu. Contohnya, ada sesetengah individu yang lebih mahir menggunakan kaedah visual, dan dalam masa yang sama tahap penggunaan kaedah auditori dan kinestetik lebih rendah.
Pembelajaran visual ialah pembelajaran melalui penglihatan. Anda belajar secara visual setiap kali anda mendapat maklumat daripada penglihatan. Ini merangkumi lebih daripada sekadar melihat gambar dan persekitaran anda. Pembelajaran visual juga merangkumi perkataan yang ditulis. Pelajar yang menggunakan kaedah visual mendapat banyak manfaat daripada pengajaran yang menggunakan ilustrasi, carta, gambar rajah, video, dan lain-lain.
Pembelajaran auditori ialah ialah pembelajaran melalui pendengaran. Jenis pembelajaran ini sangat membantu dalam persekitaran bilik darjah. Semasa kuliah, pelajar yang menggunakan kaedah pendengaran dapat memahami, memproses dan menyimpan maklumat dengan lebih mudah. Pelajar yang mempunyai tahap kemampuan pembelajaran auditori yang tinggi dapat mendengar dan memahami tanpa kehilangan banyak maklumat.
Pembelajaran kinestetik ialah pembelajaran melalui perbuatan. Dalam bahasa yang mudah, hands-on learning. Contoh pembelajaran melalui perbuatan ialah ketika anda melakukan eksperimen-eksperimen di makmal-makmal sains. Pembelajaran kinestetik juga merupakan tahap pembelajaran yang tertinggi dalam cone of learning.
Jika anda ingin mengenali keadah pembelajaran anda, bolehlah menjawab kuiz yang terdapat di sini dan kongsi jawapan anda dalam ruangan komen di bawah.
1.2 Rutin harian dan pengurusan masa yang baik
Pastikan anda mempunyai rutin harian yang sihat agar anda mudah untuk menguruskan dan merancang jadual pembelajaran. Rutin harian anda juag perlu merangkumi waktu rehat, waktu bersenam dan pemakanan yang seimbang. Mendapatkan rehat secara berkala penting agar otak anda dapat kekal fokus. Pemakanan yang seimbang akan membantu meningkatkan daya tumpuan dan ingatan serta menambahbaik tahap kesihatan anda. Kurangkan pengambilan makanan ringan dan makanan segera.
Buat jadual belajar yang sesuai dengan cara belajar anda dan jangan tinggalkan sesi mengulangkaji pelajaran untuk saat-saat terakhir. Walaupun sebilangan pelajar kelihatan berjaya dalam pembelajaran pada saat-saat terakhir, selalunya cara belajar ini bukanlah pendekatan terbaik untuk persiapan peperiksaan. Tuliskan berapa banyak peperiksaan yang anda ada, berapa banyak halaman yang harus anda pelajari dan hari-hari yang anda tinggalkan. Selepas itu, ubah rutin harian anda dan disiplinkan diri untuk menguruskan masa dengan bijak.
1.3 Cakna tentang jadual dan format peperiksaan
Pastikan anda tahu jadual peperiksaan anda. Sebagai contoh, bilakah tarikh untuk subjek Matematik, pukul berapa, berapa lama tempoh peperiksaan dan di mana. Rancang waktu perjalanan anda ke dewan peperiksaan dan ambil kira faktor-faktor lain seperti kesesakan lalu lintas.
Anda juga perlu cakna tentang format peperiksaan, sama ada soalan objektif, soalan subjektif atau karangan. Untuk mengetahui format peperiksaan, rujuk dan jawab soalan peperiksaan tahun-tahun sebelumnya. Jika berlaku perubahan format, pastikan anda mengesahkan format baharu dengan guru atau pensyarah anda.
2. Persediaan semasa persekolahan atau kuliah
2.1 Kenalpasti objektif pembelajaran untuk setiap sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P)
Saya mempelajari kaedah ini semasa sekolah menengah saya menggunakan konsep pembelajaran yang disediakan oleh sekolah amanah. Sejak mengetahui konsep ini, saya akan cuba memastikan saya tahu apakah objektif pembelajaran untuk setiap sesi P&P pada hari tersebut. Kenapa objektif pembelajaran penting? Bagi saya, sama seperti kehidupan, kita semua mempunyai azam masing-masing, apa yang ingin kita capai dalam kehidupan. Begitu juga dengan pembelajaran, jika kita peka dn mengambil tahu tentang objektif pembelajaran, mudah untuk kita menilai pemahaman kita dalam suatu konsep.
Dalam buku teks sekolah, awal permulaan topik akan memaparkan objektif pembelajaran. Di sinilah anda boleh menilai diri sendiri, adakah anda berjaya mencapai objektif-objektif tersebut? Apakah perkara yang masih anda kurang pasti? Tetapi, jangan hanya bergantung dengan objektif pembelajaran semata-mata. Gunakan kreativiti untuk mereka objektif pembelajaran anda sendiri dan kembangkan pemikiran anda.
2.2 Fokus di dalam kelas
Fokus di dalam kelas amat berkait rapat dengan mengetahui tentang objektif pembelajaran pada sesi P&P. Dengan mempunyai objektif yang ingin dicapai, mudah untuk anda fokus di dalam kelas. Selain itu, anda juga mudah untuk mengetahui perkara yang anda kurang jelas dalam sesi P&P.
Terdapat banyak faktor yang akan mempengaruhi tahap fokus anda. Ini termasuklah, mendapatkan tidur yang mencukupi, pemakanan yang seimbang, senaman yang mencukupi dan banyak lagi. Lakukan refleksi diri secara harian dan kenal pasti bilakah anda mulai kehilangan fokus dan apakah yang boleh anda lakukan untuk meningkatkan tahap fokus anda.
Jadi, apakah kaedah yang mudah untuk meastikan anda fokus di dalam kelas? Pertama, pastikan anda mendapatkan tidur dan rehat yang mencukupi, mengamalkan pemakanan yang seimbang dan bersenam 3-4 kali untuk 30 minit dalam seminggu. Kedua, kurangkan gangguan. Sama ada dalam pemikiran anda atau keadaan meja yang tidak kemas. Ketiga, pastikan anda terhidrat.
2.3 Manfaatkan sumber yang sedia ada
‘Sumber’ di dalam artikel ini merujuk kepada pensyarah, guru, Google, YouTube dan Khan Academy yang boleh membantu menjawab persoalan anda. Jika anda melatih minda untuk menimbulkan persoalan, ia akan membantu anda untuk kekal fokus di dalam kelas. Untuk persoalan-persoalan yang masih tidak terjawab, jangan malu dan banyakkan bertanya. Anda juga boleh menggunakan carian Google untuk mendapatkan jawapan.
Ingat, pastikan anda merujuk sumber yang sahih dan pelbagaikan sumber rujukan anda.
3. Persediaan sebelum menduduki peperiksaan
3.1 Kumpul dan susun semua nota subjek dalam satu tempat
Hanya pendapat peribadi, amalan ini amat penting bagi memastikan carian maklumat anda berada di dalam satu file dan tidak berselerak. Antara tabiat buruk saya dahulu, saya suka menconteng nota di mana-mana, misalnya di tepi soalan latih tubi, di atas mana-mana kertas yang dapat dicapai ketika itu. Ada juga nota yang bercampur subjek! Jadi, bila tiba musim peperiksaan, saya sukar untuk mencari maklumat yang pernah saya tulis kerana nota saya tidak tersusun.
Kaedah yang saya amalkan kini ialah memastikan saya mempunyai satu file khas untuk nota semua subjek saya. Saya cuba untuk mencari kaedah yang sesuai untuk saya. Saya bermula dengan menulis semua nota di dalam satu buku, tetapi ini memakan masa yang lama kerana saya juga perlu menyalin semula nota daripda pensyarah di dalam buku tersebut. Daripada kaedah ini, saya beralih kepada penulisan nota di tepi kertas nota yang diberikan oleh pensyarah. Kekurangan kaedah ini ialah, soalan latih tubi akan berada dalam buku yang lain. Jadi, tetap akan ada nota yang bertindih.
Kini, saya beralih sepenuhnya kepada penggunaan Microsoft Word untuk tujuan mengumpulkan nota. Misalnya, saya kan menyediakan satu file khas untuk setiap subjek. Di dalam satu file tersebut, akan mengandungi semua objektif pembelajaran dan nota, soalan dan jawapan yang dijawab sendiri, jawapan daripada skema jawapan dan juga pautan-pautan yang berkaitan. Semua file tersebut akan disimpan di dalam Onedrive iaitu storan awan (cloud storage). Saya memilih untuk menyimpan di dalam storan awam kerana mengurangkan risiko kehilangan nota. Satu file (bersamaan dengan satu subjek sahaja) boleh melebihi 200 muka surat, bayangkan jika komputer riba anda terformat tanpa sengaja! Anda juga boleh menggunakan Google Drive untuk menyimpan nota anda.
3.2 Banyakkan membuat latih tubi
Dengan menjawab lebih banyak soalan latih tubi, anda boleh mengenalpastikan contoh-contoh soalan peperiksaan dan menilai tahap kefahaman anda. Untuk sekolah rendah dan sekolah menengah, terdapat banyak buku-buku latihan yang dijual di kedai buku. Anda boleh memilih sama ada ingin membuat latih tubi yang berdasarkan peperiksaan tahun-tahun sebelumnya atau yang berdasarkan tajuk/chapter. Bagi anda yang merupakan siswa atau siswi, anda boleh membuat latih tubi berdasarkan peperiksaan tahun sebelumnya, soalan kuiz dan tutorial.
Jika terdapat soalan yang tidak dapat diselesaikan, rujuk semula point 2.3 iaitu manfaatkan sumber yang sedia ada. Banyakkan bertanya dan cuba semula.
Konklusi
Setiap individu ialah unik dan mempunyai cara-cara yang tersendiri dalam persediaan menduduki peperiksaan. Perkara yang paling penting ialah, jangan berputus asa, sama ada dalam pembelajaran atau kehidupan.
Bagi anda yang akan menduduki peperiksaan dalam masa yang terdekat, semoga berjaya!
Hard work will never betray you

Media Sosial Pasar Lambak Informasi

Finding Chika
You May Also Like

Chapter One: The Greatest Temptation
February 22, 2022
Cara untuk Mencari Tujuan Hidup dan Menjadi Lebih Baik
October 7, 2020