
Cara-cara untuk mencapai azam tahun baharu5 min read
Selamat tahun baru! Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, saya suka menetapkan impian dan azam yang ingin dicapai. Refleksi untuk azam tahun lepas: terdapat beberapa azam saya yang telah tercapai misalnya untuk mempelajari ilmu baharu seperti menyulam dan banyak lagi. Ada juga beberapa azam yang tidak kesampaian contohnya untuk pergi ke Germany. Seperti yang kita semua sedia maklum, tahun 2020 merupakan tahun yang amat mencabar. Apabila COVID-19 melanda dunia, azam saya yang berkait rapat dengan melancong hanya terkubur begitu sahaja.
Sebelum tahun 2021 bermula, saya telah melakukan kajian tentang cara-cara yang lebih efektif untuk mencapai azam, mencipta sistem. Pada mulanya, saya hanyalah mendengar tentang ini melalui YouTube dan saya berpendapat ada betul tentang apa yang diperkatakan. Jadi, topik kali ini ialah, bagaimanakah cara untuk mencapai azam tahun baharu menggunakan kaedah sistem.
Dalam artikel kali ini, saya akan menghuraikan beberapa perkara:
- Apakah azam/gol/impian?
- Apakah sistem?
- Apakah perbezaan antara sistem dan azam?
- Bagaimanakah untuk mencipta sistem?
1. Apakah azam/gol/impian?

Azam ialah satu kenyataan tentang perkara yang ingin kita capai. Azam tidak semestinya perkara yang besar atau jangka masa panjang sahaja. Apa-apa perkara anda ingin capai, sama ada jangka masa pendek atau panjang, kejayaan yang kecil atau besar, semua perkara yang ada dalam bayangan masa depan anda boleh dikategorikan sebagai azam.
Contohnya, pada tahun lepas, saya ingin belajar menyulam dan bermain piano. Terdapat juga impian-impian lain seperti menjadi lebih sihat dan membaca sebanyak 12 buah buku. Untuk mencapai impian-impian tersebut, saya beli alatan menyulam, dan pelbagai benda lain.
Kita juga boleh memecahkan azam kita kepada azam yang lebih kecil agar mudah dicapai. Misalnya, untuk belajar menyulam, saya menetapkan impian seperti:
- Satu sulaman satu bulan
- Belajar menyulam perkataan
Untuk membaca buku pula, saya meletakkan azam untuk membaca satu buku sebulan.
Dengan memecahkan azam kita kepada matlamat-matlamat yang lebih kecil, mudah untuk saya melakukan perancangan tentang mencapai azam saya. Azam-azam yang kecil ini membantu saya untuk mengekalkan motivasi untuk mencapai perkara yang lebih besar.
Permasalahan yang terdapat dalam menetapkan azam ialah, kita mudah untuk kehilangan motivasi sekiranya kita gagal untuk mencapai sesuatu dalam masa yang lama. Azam yang terlalu tinggi atau terlalu jauh ke hadapan akan menjadikan kita lama-kelamaan kehilangan motivasi untuk terus mengejar impian.
Motivasi ialah perkara yang sentiasa berubah-ubah, dan sukar untuk anda mengekalkan tahap semangat yang sama dari awal tahun hingga ke hujung tahun.
Di sinilah sistem memainkan peranan yang penting.
2. Apakah sistem?

Sistem merupakan set tindakan dan langkah-langkah ke arah mencapai azam. Jika azam ialah tentang ‘Apa’, sistem pula ialah tentang ‘Bagaimana’. Adalah tidak munasabah sekiranya kita mengatakan ‘tiada sistem, maka azam tidak tercapai’. Sistem ialah alat bantuan untuk mencapai azam.
Actions speak louder than words
Dengan mempunyai sistem, anda akan mengalami perubahan yang berkala dan bukannya drastik. Jadi, kaedah sistem akan mengurangkan kebarangkalian kehilangan motivasi dan berhenti separuh jalan.
Kaedah sistem memerlukan anda untuk menyenaraikan tindakan yang akan dilakukan secara berkala. Tindakan-tindakan ini akan menjadi sebahagian daripda rutin harian anda. Untuk setiap azam anda, tetapkan set tindakan yang akan membantu anda mencapai azam tersebut. Sebagai contoh, jika azam anda pada tahun ini ialah untuk menghilangkan 10kg, sistem yang boleh anda laksanakan ialah:
- Melakukan senaman pagi selama 30 minit setiap hari Isnin hingga Jumaat.
- Mengamalkan pemakanan seimbang iaitu diet suku-suku separuh.
- dan sebagainya…
Dengan mempunyai sistem yang jelas dan spesifik, anda tidak hanya bergantung kepada motivasi semata-mata untuk mencapai azam. Kaedah sistem menghilangkan keraguan dan sifat sukar membuat keputusan anda. Contohnya sekiranya anda sudah menetapkan bahawa 7-8pagi ialah waktu untuk bersenam, anda tidak perlu ragu-ragu sama anda perlu bersenam atau tidak. Anda bersenam kerana anda yang menetapkan komitmen untuk bersenam pada hari dan waktu tersebut. 21 hari yang pertama memang agak sukar. Tetapi selepas 21 hari tersebut, tindakan tersebut akan menjadi rutin anda.
3. Apakah perbezaan antara sistem dan azam?
Secara ringkasnya, perbezaan antara azam dan sistem ialah seperti di bawah:
Azam | Sistem |
Azam ialah tentang ‘Apa’. (Apa matlamat ada, apa yang ingin anda capai pada hujung tahun 2021). | Sistem ialah tentang ‘bagaimana’. (Bagaimana untuk menjana pendapatan lebih, bagaimana untuk menurunkan 1kg dalam satu bulan). |
Keinginan untuk mencapai azam boleh menurun dalam jangka masa panjang. Azam amat bergantung kepada tahap motivasi dan keinginan. | Sistem menitikberatkan rutin, dan bukannya motivasi. |
Azam hanya dapat dicapai jika anda tahu bagaimana. | Sistem mendatangkan manfaat secara berkala dan konsisten |
Sistem lebih realistik dan fleksibel |
4. Bagaimanakah untuk mencipta sistem?
Mudah sahaja untuk kita katakan ‘cipta sistem, bukan azam’. Tetapi, sekiranya anda baru sahaja memulakan kaedah ini, mungkin agak sukar untuk mengetahui cara-cara mengubah azam kepada sistem.
Langkah-langkah yang boleh anda lakukan ialah:
- Kenalpasti azam atau matlamat anda (APA yang ingin anda capai?)
- Pecahkan azam kepada azam-azam yang kecil
- Gunakan azam yang kecil untuk mencipta sistem yang berulang (BAGAIMANA anda akan mencapai azam yang ditetapkan?)
Dalam anda mencipta sistem, kenalpasti apakah tugasan atau rutin yang boleh dilakukan berulang kali.
Misalnya, jika anda berazam untuk lebih banyak membaca, azam yang lebih kecil ialah membaca satu buku setiap bulan. Sistem yang boleh anda praktikkan ialah:
- Membeli genre buku yang anda minat.
- Memastikan anda mempunyai ruangan dan pencahayaan yang selesa untuk membaca buku.
- Mempunyai penanda buku.
- Membaca dalam waktu terluang walaupun cuma 5 minit.
- Membaca setiap hari selama 10-20 minit sebelum tidur.
Konklusi
Satu perkara yang saya suka untuk berkongsi ialah anda tidak perlu menunggu tahun baharu untuk berubah. Anda bertangungjawab untuk kehidupan anda. Jika anda merasakan bahawa hari ini ialah titik perubahan anda, jadi berani dan jangan bertangguh.
I hope you realize that every day is a fresh start for you. That every sunrise is a new chapter in your life waiting to be written.
Juansen Dizon
Kita semua mempunyai azam masing-masing. Tidak usah membanding azam kita dengan orang lain, cukup sekadar untuk dijadikan inspirasi. Sesuaikan sistem dengan keupayaan anda. Ambil kira faktor-faktor lain seperti komitmen dalam kerjaya dan lain-lain. Kini, anda sudah mengetahui kaedah yang akan membantu anda mencapai azam tahun baharu anda. Anda pasti boleh!
No matter how hard the past, you can always begin again.
You May Also Like

Cara-cara Menggunakan Google Drive
September 16, 2020
Tempat-tempat yang sesuai untuk bekerja selain rumah
September 24, 2020