aerial photo of mountain surrounded by fog
Produktiviti

Cara untuk Mencari Tujuan Hidup dan Menjadi Lebih Baik4 min read

Katakanlah, anda bangun pada pagi ini dan merasa tidak bermotivasi, tidak yakin pada diri sendiri, merasakan tiada tujuan hidup, tidak bersemangat, tiada arah tujuan dan tidak jelas tentang hala tuju kehidupan anda. Mungkin ada individu yang terdekat dengan anda juga mengalami perkara yang sama. Ada yang merasakan bahawa dirinya tersekat dalam pekerjaan yang tidak diingini, ada yang merasakan bahawa kehidupan terlalu membosankan.

Mungkin ada yang bangun dari tidur dan mengkehendaki kehidupan seperti Prof Dr Muhaya, lemah-lembut budi bicaranya dan tajam akal fikirannya. Sejujurnya, saya amat kagum pada beliau. Beliau seolah-olah tahu tujuan dan matlamat kehidupan beliau sejak kecil lagi. Sedangkan saya bertungkus lumus untuk mencari hala tuju saya. Ketidakpastian ini menyebabkan saya untuk mencuba pelbagai kaedah untuk mencari matlamat utama kehidupan saya.

1. Ambil Tindakan

Kita semua diberikan 24 jam dalam sehari, tidak kurang dan tidak lebih dan anda mempunyai kuasa mutlak tentang bagaimana anda akan menggunakan masa yang ada. Berani untuk mengambil tindakan tanpa perlu untuk berfikir secara berlebihan. Pemikiran seperti – Adakah ini akan berjaya? Patutkan saya melakukannya? Bagaimana kalau bukan ini yang saya mahukan? Bagaimana jika ia tidak mendatangkan pendapatan yang lumayan? Bagaimana jika ini tidak akan membuahkan hasil? – akan mengekang kebolehan anda. Perkara baharu memang akan mendatangkan ketidakselesaan. Belajar untuk selesa dalam ketidakselesaan.

Dalam masa yang sama, cuba untuk lihat dari perspektif yang lain. Bayi mula berjalan dengan bertatih, tanpa perlu untuk berfikir berlebihan, sekali-sekala terjatuh itu biasa, terhuyung-hayang itu juga biasa. Anda juga suatu ketika dahulu hanya bayi yang baru mula bertatih. Mula ambil langkah untuk mencuba perkara yang baharu. Jika anda tidak menyukainya, tidak mengapa. Anda tidak mengalami kerugian sebaliknya anda mendapat pengalaman dan ilmu baharu.

2. Peka pada Perasaan Anda

Hati dan perasaan kita adalah antara dua alat terbaik yang boleh digunakan untuk mencapai tujuan dan hala tuju kehidupan anda. Tanya pada diri, apakah perbuatan yang anda suka lakukan?

Jika aktiviti tersebut boleh menjana pendapatan untuk anda, ia adalah satu bonus. Apabila anda melakukan perkara yang anda gemari, bukan sahaja anda menjadi lebih gembira tetapi anda akan lebih terinspirasi untuk menjadi diri lebih baik daripada hari semalam. Dengan melakukan suatu perkara dari hati, anda juga lebih terdorong untuk meneroka kehidupan walaupun di luar zon selesa anda.

3. Bebaskan Diri

Jangan menyekat kehidupan anda dengan hanya berusaha untuk mencari hanya SATU perkara yang anda ingin lakukan. Pemikiran ini akan menghalang anda untuk mengetahui potensi sebenar yang ada pada diri anda dan menyebabkan anda kurang pengalaman hidup. Tanggungjawab seorang guru misalnya bukan hanya mengajar subjek kepada murid-murid. Dalam masa yang sama, beliau juga seorang pengarang, penggubal soalan, penceramah dan boleh saja seorang pereka dalaman. Setiap perkara yang beliau lakukan membawa kegembiraan kepada beliau dan beliau tidak hanya menjadikan hanya satu pekerjaan sebagai tujuan hidup beliau.

Mula dengan melakukan perkara yang anda gemari. Jika kehidupan anda seiring dengan minat anda, anda akan lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Perasaan bahawa ‘ada sesuatu yang hilang’ akan perlahan-lahan menjadi pudar ketika anda menjalani kehidupan dengan penuh semangat. Shannon Kaiser menyimpulkan bahawa:

Minat + Tindakan Harian = Kehidupan yang mempunyai tujuan

Passion + Daily Action = Purposeful Life

Dari perspektif yang lebih luas, tujuan sebenar kehidupan adalah untuk melibatkan diri secara sepenuhnya dalam kehidupan. Tetapi, anda yang menentukan dalam aspek yang mana anda ingin terlibat. Untuk menentukan aspek yang mana, anda harus mencuba. Cuba semua perkara tanpa perlu overthinking.

Be present for the journey and fully embrace it.

4. Bersosial dan Berbual

Setiap kali anda bersendirian, jangan terus mengambil telefon pintar dan membazir masa scroll instagram feed. Cuba untuk memanfaatkan masa tersebut untuk berbual dengan orang lain. Mungkin hanya sekadar panggilan telefon yang pendek atau perbualan pendek dengan jiran sebelah atau orang-orang yang tidak dikenali. Interaksi secara langsung dengan orang lain sebenarnya mendatangkan banyak manfaat, lebih daripada sekadar tahu khabar. Minda kita akn lebih terbuka dan siapa tahu, mungkin kita akan mendapat ilmu baharu.

5. Jadikan Kehidupan Satu Pengembaraan

Kita semua hanya mempunyai satu kehidupan, dan satu itu sahaja jika dibazirkan, bukankah satu kerugian untuk kita? Keluar dari zon selesa anda dan jika berkemampuan, lawatilah negeri atau negara lain. Untuk waktu makan tengah hari, keluarlah dari pejabat dan nikmatilah suasana kafe atau restoran yang baharu. Cuba untuk mencari ilmu kehidupan, belajar dan aplikasikan. Jika anda tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk ke restoran baharu, luangkan waktu makan tengah hari dengan rakan sekerja. Borak ringan dan tambah ilmu anda, bukan bergosip menembah cela di hati.

Tanya pada diri, “Apa yang membuatkan saya terasa terinspirasi? Apa yang membuatkan hati saya melonjak kegembiraan?”. Setiap daripada kita dilahirkan dengan beberapa potensi yang membolehkan kita untuk mencapai kejayaan dan kehendak peribadi. Cari dan lakukan perbuatan yang mempunyai makna bagi diri anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *