young lady using laptop at table in modern workspace
Produktiviti

Tips Bekerja dari Rumah5 min read

Penyebaran SARS-CoV-2 di serata dunia telah menyebabkan World Health Organization mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020. Untuk mengawal penyebaran wabak COVID-19 di Malaysia, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020. Keadaan ini memaksa pelbagai lapisan masyarakat untuk berkerja dari rumah dan membiasakan diri dengan norma baharu.

Sebagai seorang pelajar, saya juga terkesan dengan situasi ini. Penularan wabak COVID-19 di United Kingdom dan beberapa kesulitan untuk pulang ke Malaysia membuatkan saya mengambil keputusan untuk menghabiskan tahun ketiga dan meluangkan cuti musim panas di bumi ratu.

Change is the only constant.

Berpegang teguh dengan kata-kata di atas, saya cuba untuk menyesuaikan diri di dalam situasi baharu. Oleh itu, saya ingin berkongsi tips dan cara-cara untuk mengekalkan produktiviti walaupun bekerja dari rumah.

 

selective focus photography of woman using macbook pro

1. Tetapkan waktu bekerja

Tetapkan waktu bekerja anda dan patuhi jadual tersebut. Jadikan jadual bekerja tersebut sebagai panduan untuk memulakan hari dan mengekalkan produktiviti diri. Penggunakan Google Calendar dapat membantu untuk mengekalkan work-life balance. Kelebihan bekerja dari rumah ialah kita mempunyai fleksibiliti. Mungkin pada sesetengah hari, kita lebih rajin maka lebih banyak kerja yang dapat kita siapkan. Mungkin pada hari lainnya, kita boleh menyiapkan kerja lebih awal untuk meraikan hari ulang tahun orang tersayang.

Salah satu tips yang boleh anda cuba juga ialah tetapkan dua blok waktu semasa menggunakan Google Calendar. Dua blok waktu tersebut ialah: proaktif dan reaktif. Proaktif ialah waktu di mana anda perlu untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap suatu tugasan penting. Manakala, reaktif ialah waktu di mana anda membenarkan sedikit gangguan seperti impromptu meeting dan emel yang memerlukan perhatian segera.

 

2. Tetapkan rutin waktu pagi

Menetapkan waktu bekerja ialah satu hal lain dan menetapkan rutin pagi tidak kurang pentingnya. Tetapkan rutin yang akan membantu anda untuk lebih produktif. Contoh rutin yang boleh anda praktikkan ialah:

  1. Bangun tanpa perlu menekan snooze pada telefon pintar anda. 
  2. Minum segelas air kosong.
  3. Bersenam.
  4. Mandi dan bersiap.
  5. Sarapan pagi.

Bagi saya pula, saya suka mengelap meja kerja sebelum memulakan hari saya. Rutin ini membantu saya untuk kekal fokus. Ada sesetengah orang mungkin memerlukan secawan kopi, manakala ada yang suka berjogging terlebih dahulu. Ia terpulang kepada individu dan anda mempunyai kuasa mutlak untuk menetapkan rutin pagi anda. Yang paling penting, jangan mulakan pagi anda dengan membazir masa di media sosial. Saya pun masih berusaha untuk membuang tabiat ini, jadi ayuh, kita bersama-sama menjadi lebih produktif!

 

3. Tetapkan peraturan dengan orang yang tinggal serumah dengan anda

Bekerja dari rumah memerlukan sifat toleransi antara seisi rumah, baik keluarga mahupun rakan serumah. Sekiranya anda mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, tetapkan peraturan yang jelas tentang apa yang dibolehkan dan dilarang semasa waktu anda bekerja. Sekiranya anda mempunyai mesyuarat yang penting atau interview, maklumkan kepada rakan serumah/keluarga agar mereka boleh memberi kerjasama.

 

4. Tetapkan dan jadualkan waktu rehat

Berikan masa untuk mata anda berehat dari skrin komputer riba atau telefon pintar. Badan anda juga perlu untuk bergerak dan beralih dari kerusi kerja. Jadualkan waktu rehat tengah hari dan beberapa tempoh rehat yang pendek. Selain daripada menggunakan Google Calendar untuk menjadualkan tugasan anda, gunakan ia untuk menjadualkan waktu rehat anda juga. Mengambil rehat yang sedikit dan kerap akan membantu untuk meningkatkan produktiviti anda secara keseluruhan. 

 

5. Pastikan jadual rehat dipatuhi

Jangan bekerja semasa waktu rehat anda dan cuba untuk nikmati waktu rehat tersebut. Jangan berikan stress kepada mata anda dan lakukan aktiviti yang boleh merehatkan minda. Jauhkan diri dari tempat duduk anda dan regangkan badan anda. Sekiranya kita duduk secara berlebihan dan mengamalkan gaya hidup yang tidak aktif, tindakan kita hanya membawa kepada kemudaratan diri.

Rehat sebenarnya banyak memanfaatkan kita. Kajian daripada University of Illinois pada 2008 menunjukkan bahawa rehat mampu meningkatkan tahap fokus dan produktiviti.

 

6. Keluar dari rumah

Ini amat bergantung kepada keadaan semasa terutamaya dalam ketidakpastian penyebaran wabak COVID-19. Luangkan masa di luar ruang kerja anda. Tidak semestinya ke tempat awam, anda boleh meluangkan masa untuk sekadar bersiar-siar atau melakukan aktivit fizikal seperti senaman ringan. Ini bukan sahaja untuk manfaat mental anda, tetapi cahaya semula jadi dapat memanfaatkan kesihatan anda dalam pelbagai aspek.

 

7. Menyediakan ruang bekerja

Dedikasikan ruang dan meja yang khusus untuk memudahkan anda bekerja dari rumah. Secara ideal, mungkin anda memerlukan dua komputer, satu untuk bekerja dan satu untuk keperluan peribadi. Sebagai alternatif, anda juga boleh mempunyai satu monitor dan satu komputer riba. Sebagai contoh, apabila komputer riba disambungkan ke monitor, ini adalah waktu bekerja anda. Apabila komputer riba tidak disambungkan ke monitor, itulah masa peribadi anda.

Mempunyai ruang kerja yang khusus membolehkan anda mengurangkan gangguan dari hal-hal yang tidak diingini seperti media sosial dan permainan atas talian. Anda mungkin mahu membelanjakan wang untuk membeli kerusi pejabat. Kerusi yang elok akan mengurangkan risiko sakit belakang. Mungkin anda juga memerlukan lampu meja sekiranya ruang anda kurang mendapat cahaya semula jadi. 

 

8. Ambil cuti sakit

Sekiranya anda berasa kurang sihat pada hari tersebut, jangan menambah beban diri dan berehatlah. Ambil cuti sakit yang anda perlukan. Jangan terperangkap dalam kerja. Perlu diingati bahawa kadang-kadang lebih baik berehat dan menjadi lebih sihat sehingga anda dapat menjadi diri anda yang paling produktif dalam jangka masa panjang.

 

9. Cari peluang untuk menghadiri kursus latihan

Mungkin sekiranya anda bekerja dari rumah, anda terlepas peluang untuk menghadiri kursus latihan yang diajar secara langsung. Jadi kreatif dan hadir untuk kursus latihan yang diajar secara atas talian. Dalam pada itu, jangan hanya bergantung kepada majikan untuk menghantar anda menghadiri kursus. Timba ilmu dan pelajarilah kemahiran baharu.

 

10. Tamatkan hari anda dengan rutin

Sebagaimana anda mempunyai rutin sebelum memulakan kerja, pastikan anda juga mempunyai rutin yang menandakan hari bekerja anda telah berakhir. Mungkin anda boleh keluar berjogging atau meluangkan masa dengan orang tersayang. Anda juga boleh melakukan aktiviti yang amat ringkas seperti shut down komputer anda atau mendengar lagu kegemaran anda.

 

Konklusi

Sekiranya kita berada di dalam situasi di luar kawalan kita, misalnya COVID-19, maka kita yang harus belajar untuk berubah sejajar dengan situasi. Kenalpasti tindakan yang sesuai dengan keperluan anda dan bahagikan masa bekerja dan bersosial dengan adil. Sedia dan berani untuk mengubah rutin anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *