photo of assorted letter board quote hanged on wall
Alat Produktiviti

Penggunaan Vision Board5 min read

Vision board merupakan satu koleksi gambar atau kata-kata motivasi yang dipaparkan pada papan. Vision board bertujuan untuk menjadi sumber inspirasi dan motivasi dan menggunakan the law of attraction untuk mencapai sesuatu matlamat. Antara selebriti yang menggunakan kaedah ini ialah Oprah Winfrey dan Steve Harvey.

 

Vision board boleh dibahagikan kepada dua. Sama ada untuk jangka masa setahun atau jangka masa yang lebih lama (5 tahun atau lebih). Teruskan pembacaan untuk mengetahui kepentingan, keberkesanan dan langkah-langkah untuk membuat vision board anda.

 

person holding brown and white box

 

Kepentingan Mempunyai Vision Board

Saya juga baru bermula membuat vision board saya pada tahun ini dan sebenarnya mempunyai semua impian saya jelas terpapar di depan meja belajar sangat membantu. Saya tampalkan semua impian saya pada vision board dan ia membantu saya untuk lebih bijak dalam melaburkan masa dan tenaga saya. Jadi, apakah kepentingan vision board untuk mencapai sesuatu?

 

1. Kita akan betul-betul berfikir tentang apa sebenarnya yang kita mahukan dalam hidup

Sepanjang proses memilih gambar untuk dilekatkan pada vision board, saya selalu bertanya pada diri, ‘adakah ini yang saya betul-betul mahukan?’, ‘adakah saya hanya mengikut trend?’. Masa yang digunakan untuk membuat vision board sebenarnya masa yang dilaburkan untuk kita tahu apakah tujuan hidup kita, apakah pencapaian yang kita mahukan dalam hidup. Ia boleh menjadi sekecil-kecil ‘menderma RM1 setiap bulan’ atau sebesar-besar ‘menubuhkan syarikat sendiri’. Proses menghasilkan vision board mendidik kita untuk benar-benar fokus pada matlamat dan aspirasi hidup.

 

2. Vision board membantu kita daripada berasa tersekat dalam hidup

Sesetengah daripada kita mungkin terpaksa bekerja lebih keras berbanding orang lain. Bangun, bekerja, dan melakukan tugas-tugas harian yang lain. Kadang-kala kita berasa tersekat kerana ketiadaan fleksibiliti dalam kehidupan. Hidup umpama robot, rutin yang sama setiap hari.

 

Inilah salah satu punca bahawa kebanyakan orang mengalami perasaan tersekat di dalam kehidupan yang sedia ada. Mereka mungkin telah kehilangan sisi kreatif dalam diri. Dengan mempunyai vision board, mereka mungkin dapat menetapkan bahawa matlamat mereka pada tahun ini pergi bercuti dan meluangkan lebih masa dengan orang yang tersayang.

 

3. Vision board membolehkan kita sentiasa mempunyai gambaran jelas tentang impian dan matlamat kita

Vision board seharusnya diletakkan pada ruangan yang sering dilihat. Ini membolehkan kita sentiasa melihat vision board dan mengekalkan kita di atas landasan ke arah mencapai impian dan matlamat tersebut.

 

Kaedah visual merupakan satu latihan minda yang mana paling popular dan berkesan dalam memanipulasikan minda. Sekiranya anda sentiasa melihat vision board yang memberi inspirasi kepada anda, anda akan kekal bermotivasi sepanjang hari.

 

4. Vision board membantu kita untuk memulakan hari dengan penuh tujuan dan motivasi

Vision board mengingatkan anda pada impian dan matlamat hidup anda. Ia juga boleh bermain dengan emosi anda dan menyemarakkan semangat anda untuk terus berusaha ke arah impian anda. Selain itu, vision board akan membantu anda untuk mengenali peluang-peluang yang ada untuk membantu anda mencapai matlamat anda.

 

5. Vision board sebenarnya menyeronokkan

Dalam penghasilan vision board, anda bebas untuk meluahkan semua impian dan matlamat anda. Kita tidak perlu untuk terlalu mencantikkan vision board kita. Luahkan sahaja apa-apa yang kreatif bagi anda. Yang penting, vision board bertujuan untuk memberi inspirasi kepada anda.

Dalam mencari bahan cetakan yang sesuai untuk vision board anda, pastikan ia mampu menggambarkan impian dan matlamat anda.

 

top view of black pen on white opened book surrounded with personal effects

 

Keberkesanan vision board

Keberkesanan vision board adalah berbeza dan bergantung kepada individu. Tidak dinafikan, memang vision board membantu kita untuk menggambarkan impian dan matlamat kita. Tetapi, impian tanpa tindakan tidak menjamin kejayaan. Setelah anda merangka dan menterjemahkan matlamat anda kepada visual, anda harus mempunyai perancangan yang konkrit ke arah matlamat tersebut. Jangan sia-siakan masa yang telah anda luangkan untuk menghasilkan vision board anda.

 

Fahami bagaimana vision board boleh membantu anda untuk mencapai impian anda. Ambil tindakan dan sentiasa berusaha untuk mencapai impian anda. Kegagalan vision board adalah apabila anda menjadikannya hiasan rumah dan tidak mengambil sebarang tindakan. Ubah impian anda menjadi kenyataan dan bertindaklah sekarang.

Cara membuat vision board

Pertama, saya sarankan anda untuk menetapkan matlamat dan impian anda untuk jangka masa tersebut. Jangan tetapkan impian yang terlalu mustahil dalam jangka masa pendek kerana ini akan membuatkan anda memandang remeh pada vision board anda. Ambil masa untuk mengenal diri dan apakah pencapaian yang ingin dicapai.

Secara umumnya, untuk menghasilkan vision board, anda memerlukan:

  1. Papan (board): Anda boleh menggunakan papan gabus (cork board) atau papan pin (pin board).
  2. Gunting, pin, pita pelekat, gam
  3. Majalah
  4. Printer

1. Cara pemilihan gambar dan kata-kata motivasi

Pilih gambar yang akan memotivasikan anda untuk mengambil tindakan. Ada yang berpendapat bahawa gambar yang menggambarkan kehidupan masa depan lebih berkesan. Ada juga yang berpendapat gambar yang menggambarkan tindakan lebih berkesan. Ia terpulang kepada masing-masing.

Sebagai contoh, sekiranya anda mempunyai impian untuk pergi ke Paris pada tahun tersebut, anda boleh meletakkan gambar Eiffel Tower (kehidupan masa depan) atau anda boleh meletakkan gambar yang menunjukkan jumlah wang yang diperlukan untuk pergi ke Paris (tindakan). Gunakan carian Google untuk lebih kreatif dalam mencari gambar yang sesuai dan ideal.

 

2. Cara menyusun gambar pada board

Dalam hal ini, tiada kaedah yang betul atau salah dan bergantung kepada kreativiti masing-masing.

Ada sesetengah orang suka menyusun gambar mengikut tema warna, tetapi ada juga yang menyusun gambar mengikut kepentingan impian tersebut.

 

3. Di mana harus anda meletakkan vision board?

Jawapan ringkas: Di tempat yang selalu anda lihat setiap hari.

Vision board amat berkesan sekiranya anda meluangkan masa beberapa minit setiap hari untuk melihat dan mengingatkan anda pada impian anda.

Sekiranya anda banyak meluangkan masa di depan komputer, dinding di atas monitor anda sesuai dijadikan tempat untuk meletakkan vision board anda. Jika anda banyak meluangkan masa di dapur dan matlamat yang terdapat pada vision board anda banyak berkaitan memasak, anda boleh meletakkannya di dapur.

Pendek kata, gantung atau lekat di mana-mana sahaja yang anda rasa sesuai dan anda boleh melihatnya setiap hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *